Oleh: Fauzi Suhaimi
LENGGONG, 16 Julai 2023 – Usaha membanterasi isu penagihan dadah dan substan pada masa tidak hanya terletak kepada agensi penguat kuasa seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama khususnya komuniti setempat dan institusi keluarga.

YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Tengah), Tuan Sutekno Ahmad Belon (Kedua dari kiri) dan Puan Chan Hong Jin (Hujung kiri) ketika meriahkan program hari AADK bertemu masyarakat. Gambar AADK / UMKK
Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah menyeluruh itu bagi memastikan isu penagihan dadah dapat dikawal secara komprehensif dan bersasar.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat dengan mengambil kira dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 mendapati sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih dadah masih tinggal bersama keluarga.
“Daripada dapatan kajian itu juga menunjukkan, setiap 100 orang belia di negara ini, 6 orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala 4 orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan.
“Ini yang amat membimbangkan semua pihak dan memerlukan tindakan kolaboratif baik kerajaan, pihak berkuasa lain, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan keluarga,” katanya ketika berucap merasmikan Program Hari AADK Bertemu Masyarakat bersama YB TMDN di sini, pada Ahad.
Yang turut hadir Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Pengarah AADK Negeri Perak, Mohd Azizi Salleh.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian dan tepat perlu digerakkan bagi memastikan tindakan seperti pencegahan awal dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti penagihan dapat dibendung.
Selain itu, katanya, aktiviti yang bersasar seperti yang dijayakan hari ini iaitu Program Ride Against Drugs 3.0 @ Lenggong, pertandingan futsal dan bola jaring antara usaha yang boleh diteruskan untuk menarik minat golongan muda menggayakan aktiviti sihat.
“AADK menganggarkan 1.09 rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti penagihan dadah dan daripada jumlah itu, seramai 1,051,712 adalah lelaki manakala wanita pula berjumlah 45,696.
“Lebih membimbangkan, kebanyakan golongan yang terlibat dengan aktiviti tidak bermanfaat ini adalah golongan belia yang berumur 15 hingga 29 tahun,” jelasnya.