Gabung idea bentuk KPI hala tuju AADK

Oleh: Michelle Boyou

SUNGAI PETANI, 23 November 2023 – Seramai 61 pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dari seluruh negara menyertai Retreat Pelan Strategik AADK bagi tahun 2023 Peringkat Kumpulan Kerja di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, Kedah.

Retreat itu diadakan selama tiga hari bermula Rabu adalah bagi menilai pelaksanaan dan pencapaian KPI setiap teras bagi tahun 2023 sekali gus menjadi dokumen rujukan utama semua warga kerja AADK dalam melaksanakan peranan sebagai agensi peneraju menangani masalah penagihan dadah dan substan.

Menurut Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan AADK, Othman Mohamed Nazari, usaha itu adalah untuk melaksanakan peranan sebagai agensi peneraju menangani masalah penagihan dadah dan substan.

Katanya, selain input yang dibincangkan, retreat itu juga akan dijadikan satu elemen penting dalam pengurusan sesebuah organisasi dalam memperlihatkan hala tuju organisasi.

“Objektif penganjuran retreat berkenaan adalah bagi menilai pelaksanaan dan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) dalam lima teras utama meliputi teras pencegahan; teras rawatan, perubatan dan pemulihan; teras penguatkuasaan dan keselamatan serta teras kerjasama antarabangsa dan pemantapan organisasi.

“Retreat ini dilaksanakan bagi memastikan isu-isu berbangkit yang timbul dalam pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2023 dapat ditangani dengan lebih efisien,” katanya ketika berucap merasmikan retreat itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Othman menambah, penganjuran retreat itu juga diharapkan dapat mewujudkan ukhwah serta menguatkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta agar dapat mengelakkan budaya kerja secara silo dalam merangka hala tuju (way forward) pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2024.

“Diharap agar platform ini menjadi wadah untuk bersama-sama menyumbang cetusan idea-idea berkaitan hala tuju bagi pelaksanaan Pelan Strategik AADK Tahun 2024.

“Hasil input retreat ini akan dibentangkan semasa Retreat Pelan Strategik AADK Tahun 2023 Peringkat Pengurusan oleh Pengarah Bahagian dan Ketua Unit mengikut lima teras utama tersebut,” katanya.

Retreat berkenaan turut disertai tiga Ketua Penolong Pengarah (Dasar) bahagian teras iaitu Bushro Ahmad (KPP Dasar Rawatan, Perubatan dan Pemulihan); Dr Nor Azri Ahmad (KPP Dasar Penguatkuasaan dan Keselamatan); Zolkifli Mohd Dom (KPP Dasar Pencegahan) dan Anuar Ismail (KPP Perancangan) sebagai kumpulan pemerhati.

Accessibility Toolbar