Oleh: Fauzi Suhaimi
KAJANG, 1 Ogos 2023 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, penganjuran Seminar Kesihatan Mental dapat mendedahkan tentang aspek-aspek penyakit mental dan kaitannya dengan penagihan dadah khusus kepada semua pegawai AADK.
Tuan Sutekno berkata, seminar berkenaan juga menjadi landasan yang sesuai untuk mempromosi serta memberi pengetahuan dan khidmat nasihat kepada pegawai AADK tentang kepentingan kesihatan mental disamping mengurangkan stigma negatif di kalangan masyarakat.

Sesi Q&A bersama kakitangan AADK mengenai isu penyakit Mental. Gambar AADK / Muhammad Nabil
Selain itu, katanya, program itu juga dapat membincangkan peranan pegawai pemulihan dalam program pemulihan klien yang mempunyai kecelaruan mental dalam membolehkan mereka bekerja dan diterima dikalangan masyarakat.
“Seminar ini juga dapat memantapkan pengetahuan tentang pencegahan dan pengesanan awal penyakit mental dalam kalangan klien.
“Ia juga adalah satu program untuk meningkatkan keyakinan kakitangan dalam menguruskan klien yang mempunyai masalah kesihatan mental agar terus mengekalkan kepulihan,” katanya ketika berucap merasmikan seminar berkenaan di sini, pada Selasa.
Yang turut hadir Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa.
Dalam pada itu, Tuan Sutekno berkata, pelaksanaan program itu adalah sebagai platform untuk membantu kakitangan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik terutama kepada klien yang mengalami penyakit mental.
“Program ini juga diharapkan dapat mendidik pegawai-pegawai AADK untuk menggunakan kaedah rawatan yang efektif terutamanya bagi klien yang mempunyai kecelaruan mental.
“Semua pihak perlu memainkan peranan penting untuk membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental. Selain itu, AADK boleh bekerjasama dengan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan sukarelawan AADK bagi memainkan peranan dalam membantu mengenalpasti penyakit mental dalam kalangan klien, membantu memberi sokongan dan latihan kepada keluarga di dalam mengendalikan pesakit mental, juga memberi kesedaran kepada komuniti di dalam mengurangkan stigma.
“Saya ingin menyeru kepada semua pihak agar terus menjalankan aktiviti-aktiviti promosi kesihatan mental yang boleh memberi maklumat dan informasi yang jelas kepada masyarakat tentang kesihatan mental,” ujarnya.