Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif
KAJANG, 31 Mac 2022 – Sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), peranan dan tanggungjawab Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) disifatkan signifikan dalam usaha memerangi masalah penagihan dadah di Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, selari dengan matlamat tersebut perkhidmatan pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang memerlukan idea yang kontemporari, lebih kreatif dan inovatif bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah.
Datuk Jonathan menyifatkan idea kontemporari dan inovatif bagi aspek perkhidmatan pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang berupaya membendung masalah penyalahgunaan dadah di negara ini. – Gambar AADK / Muhammad Rashdan Mohd Zakaria
“Saya berpandangan bahawa perkhidmatan pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah di negara kita memerlukan idea yang kontemporari, lebih kreatif dan inovatif.
“Tiga modul bersepadu AADK iaitu Model i-Pulih AADK bagi perkhidmatan rawatan dan pemulihan, Model i-Cegah AADK (penyampaian pendidikan pencegahan) kepada seluruh Keluarga Malaysia dan Model i-Prihatin AADK untuk penguatkuasaan undang-undang dadah lebih sistematik dan berstruktur adalah inisiatif yang mampu menyediakan perkhidmatan AADK yang mantap dan mesra rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) AADK 2021 di Ibu Pejabat AADK, Kajang di sini hari ini.
Dari kiri: Tuan Sutekno, Datuk Jonathan dan Datuk Musa Sulaiman pada Majlis APC AADK 2021 di Ibu Pejabat AADK, Kajang, Selangor.
Hadir sama menjayakan majlis ialah Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan Rela, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Musa Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin.
Pada masa sama, Datuk Jonathan juga mengharapkan warga AADK mencipta kaedah dan prosedur baharu bersesuaian dengan perkembangan teknologi terkini.
“Selain itu, saya juga mengharapkan idea-idea inovatif daripada warga AADK melalui penciptaan kaedah-kaedah dan prosedur baharu menggunakan teknologi supaya kualiti perkhidmatan disediakan bersesuaian dengan perkembangan teknologi terkini, sama ada dalam aspek analisis data, pendidikan pencegahan dan kesedaran awam, modul rawatan yang fleksibel, pembangunan kapasiti pegawai dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan seramai 470 warga kerja AADK yang memberikan komitmen dan prestasi cemerlang dalam melunaskan perkhidmatan terbaik menerima APC 2021.
Tuan Sutekno (kiri) berharap pengiktirafan yang diterima menyuntik semangat dan mencetuskan inspirasi kepada semua warga kerja agensi untuk berkhidmat dengan lebih baik.