Oleh: Fauzi Suhaimi
KOTA KINABALU, 14 Februari 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Majlis Belia Sabah (MBS) bagi memperhebatkan usaha mencegah penagihan dadah di negeri ini.
Menerusi usaha sama itu, pelbagai program pencegahan dirancang AADK Sabah bersama MBS khususnya untuk terus menggerakkan kempen antidadah melibatkan kumpulan belia di Sabah.
Selain itu, kerjasama tersebut secara tidak langsung menjadikan MBS sebagai agen dalam membantu AADK menyampaikan kempen kesedaran awam kepada komuniti.
Menurut Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon, jalinan kerjasama berkenaan amat penting dalam membantu AADK Sabah untuk mendayaupaya komuniti dalam menangani permasalahan dadah dan substan di Sabah.

“Menerusi LOI ini, kita harap kerjasama antara AADK Sabah bersama MBS dapat menjayakan beberapa program khususnya program pencegahan dadah yang memfokuskan kepada golongan belia.
“Kerjasama ini juga diharap dapat memperhebatkan lagi Skuad Antidadah dengan penyertaan keahlian daripada MBS untuk sama-sama turun padang dalam melaksanakan misi bukan sahaja antidadah, malah aktiviti kemasyarakatan lain,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani LOI di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah AADK Sabah, Tuan Nani Sikin berkata, kerjasama itu juga akan menjadi platform tepat untuk menyatupadu komuniti di seluruh negeri Sabah.
“Pada majlis ini juga menjadi simbolik kepada kesatuan agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha mencapai matlamat melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman dadah.
“Pada tahun ini AADK Sabah sentiasa meneruskan usaha bagi memastikan pelaksanaan empat fasa tindakan penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
“Selain itu, kita turut melaksanakan program secara berfokus dengan memberi tumpuan di KBT dan tumpuan turut diberikan kepada pendayaupaya komuniti dan golongan sasar,” jelasnya.
