AADK, MTUC bentuk kerjasama

Oleh: Nabil Aziz

KAJANG, 15 September 2022 – Setiap manusia berhak untuk merasai peluang kedua bagi berubah ke arah lebih baik khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan sebagai salah satu sistem sokongan. Menyedari perkara itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membentuk kerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi melihat isu peluang pekerjaan membabitkan mereka yang terlibat dengan kesalahan penagihan dadah.

Sehubungan itu, satu perjumpaan diadakan antara AADK yang diketuai oleh Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon bersama delegasi MTUC yang diketuai Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani yang berlangsung di Ibu Pejabat AADK, baru-baru ini.

Menerusi perbincangan itu, pelbagai isu disuarakan antara kedua-dua pihak khususnya melibatkan peluang pekerjaan bagi mereka yang terjebak dengan isu dadah. Selain itu, kedua-dua pihak turut membahaskan hala tuju dan kelangsungan pekerjaan sekiranya ada diantara mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Pertemuan tersebut juga membincangkan tentang kerjasama jangka masa panjang yang dapat dijalin antara kedua-dua pihak terutama berkaitan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) selain program-program pencegahan, intervensi dan after care yang disediakan oleh AADK agar matlamat Dadah Terkawal 2025 dapat direalisasikan.
 

Selesai perbincangan antara AADK dan MTUC mengenai penyalahgunaan dadah dalam sektor pekerjaan.

Gambar AADK / Nabil Aziz


Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Oleh itu, peluang kedua perlu dipertimbangkan kepada golongan berkenaan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang lalu dan stigma negatif terhadap mereka dapat dihakis.

Accessibility Toolbar