AADK lancar KSKK elak stigma negatif

Oleh: Fauzi Suhaimi

KUANTAN, 18 Oktober 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) sebagai sebuah instrumen sokongan kepada klien AADK untuk terus kekal dalam kepulihan.

Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Sri Hamzah bin Zainudin berkata, kelompok itu dilihat mampu menyediakan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaiannya.

Katanya, usaha itu juga berupaya mengurangkan stigma terhadap isu penagihan dadah sekaligus mengiktiraf peranan keluarga sebagai elemen sokong bantu pemulihan klien sepanjang hayat.

“Sejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah daripada jenis organik kepada jenis sintetik, AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan “tough and rugged” kepada satu pendekatan yang lebih holistik dan prihatin merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarganya dikenali sebagai Model i – Pulih AADK.

“Kajian menunjukkan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan yang penting dalam proses rawatan dan pemulihan dadah dan menghindarkan klien daripada kembali menagih atau relaps.

“Sehubungan itu, komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur telah diperkenalkan sejak tahun 2020 dan ia terbukti berkesan apabila tahap pengekalan kepulihan klien yang hanya 20 peratus pada tahun 2015 berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan persembahan alu-aluan dalam Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, pada Selasa.

Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan program itu.

Accessibility Toolbar