AADK Kuala Pilah Bawa Anak-anak Klien Beli Baju Raya

SEREMBAN, 17 April – Seramai 30 anak-anak klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Pilah disantuni dengan membawa mereka membeli pakaian baharu sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata, usaha itu bagi menyemarak kemeriahan suasana dan sambutan Aidilfitri dalam kalangan mereka.

“Alhamdulillah hari ini kita berjaya menyantuni anak-anak klien AADK bagi Daerah Kuala Pilah dan saya lihat program ini amat baik kerana mereka juga perlu diberi perhatian selain tidak mahu emosi anak-anak ini berada dalam keadaan terganggu atau merendah diri.

“Jadi dengan program ini, kita berharap ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan anak-anak dan keluarga yang memerlukan khususnya bagi membuat persiapan menyambut hari raya nanti,” katanya dalam program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa Covid – Jom Shopping Raya di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Razali Ab Malik; Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Pengarah AADK Negeri Sembilan, Tuan Iskandar Turkee; dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Tuan Mohd Faizal Abdul Manap.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, program itu adalah cetusan idea yang dihasilkan melalui sistem MyCare-Client Capital Recovery Empowerment yang diusahakan AADK negeri dan telah mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri bagi membantu klien daripada pelbagai sudut.

“Kerajaan negeri amat menyokong sepenuhnya sistem ini dan AADK negeri telah mengambil inisiatif bagi membantu klien daripada pelbagai sudut dan melibatkan agensi kerajaan yang lain.

“Sistem ini digunakan untuk mengenalpasti permasalahan, jenis bantuan dan sistem ini juga mempunyai semua maklumat lengkap berkaitan klien,” katanya.

Beliau menambah, seramai 1,743 (90.5 peratus) data klien telah diambil setakat Disember 2020.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,258 klien dikenal pasti memerlukan bantuan merangkumi bantuan kesihatan, pekerjaan, agama dan bantuan kediaman.

“Seramai 258 pasangan klien (isteri) pula dilaporkan tidak bekerja dan memerlukan bantuan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

“Semua permasalahan itu telah dikenal pasti oleh Pegawai Pemulihan AADK Daerah dan mereka telahpun memulakan gerak kerja dari akar umbi termasuk program bantuan raya hari ini,” jelasnya.

Accessibility Toolbar