Oleh: Harnani Hassan
SUNGAI PETANI, 25 November 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) proaktif untuk menjadikan Pusat Latihan AADK (PLAK) sebagai Pusat Rujukan Antidadah Negara.
Ini kerana PLAK dilihat berpotensi dan berupaya menjadi sebuah pusat latihan yang melahirkan para pegawai berkemahiran dan mempunyai kompetensi tinggi.
Perkara itu turut menjadi harapan Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon yang menginginkan PLAK dipacu dengan pelbagai latihan dan kemahiran berkaitan antidadah selain mendapat pengiktirafan tertentu.
Perkara itu dizahirkan beliau selepas mendengar taklimat oleh Pengarah PLAK, Dr. Mohd Rafidi Jusoh mengenai hala tuju pusat latihan berkenaan ke arah menyediakan perkhidmatan latihan terbaik, sekali gus menjadi Pusat Rujuk Antidadah Negara.
“Saya berharap PLAK dapat menjadi sebuah Training Centre yang melahirkan pegawai AADK berkemahiran tinggi, berdisiplin dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Overview dan Hala Tuju PLAK di PLAK, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Selain mesyuarat itu, Ketua Pengarah AADK turut mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Utama (MPU) sempena program turun padang bagi sesi ramah mesra dan dialog bersama keluarga AADK di pusat tanggungjawab (PTj) berkenaan.
Ini termasuklah, menyampaikan amanat dan nasihat kepada kakitangan agensi dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025.
Pada masa sama, beliau turut meluangkan masa meninjau fasiliti dan menyertai aktiviti Jom Hijau dengan menanam pokok lemon di Laman Citrus PLAK.
Turut menyertai sesi turun padang terbabit ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dan pengarah-pengarah bahagian serta ketua-ketua unit AADK.


