AADK garis 10 strategi pelan hala tuju 2022

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KAJANG, 3 Januari 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menetapkan 10 strategi dalam pelan hala tuju 2022 melibatkan teras-teras berkaitan.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, bertindak sebagai peneraju dalam menangani isu permasalahan penagihan dadah dan substan di Malaysia, AADK terus komited memperkasakan pengetahuan, kaedah, kemahiran dan kepakaran meliputi pelbagai cabang.

Inisiatif itu bertujuan memastikan program sepanjang tahun ini mencapai matlamat khususnya kepada kumpulan sasar.

Selain rawatan dan pemulihan pihak agensi turut melibatkan aspek penguatkuasaan undang-undang bagi mengesan penyalah guna dan penagih dadah di negara ini.

HALA TUJU AADK
Dalam pelan hala tuju 2022 AADK menyusun 10 strategi melibatkan pelbagai teras bagi memastikan program yang dilaksanakan mencapai matlamatnya kepada kumpulan sasar.

“Strategi pertama adalah memantapkan tadbir urus organisasi dan integriti para pegawai bagi meyakinkan masyarakat bahawa AADK utuh, telus dan adil dalam memberikan perkhidmatan, namun tetap beradab dan mesra pelanggan terhadap klien dan orang ramai.

“Bagi kedua pula memperluaskan liputan program pencegahan berasaskan Model i-Cegah AADK peringkat daerah menerusi pelbagai platform dan media yang lebih efektif bagi meningkatkan kesedaran awam bahawa dadah masih musuh nombor satu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan AADK Januari 2022 di Ibu Pejabat AADK, Kajang, Selangor hari ini.

Hadir sama menjayakan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin termasuk Pengarah-Pengarah Bahagian dan Ketua Unit AADK.

hala tuju aadk
Tuan Sutekno menyatakan AADK turut menetapkan sasaran meningkatkan pengesanan secara aktif OYDS menyalah guna dan menagih dadah di setiap daerah untuk menjalani rawatan dan pemulihan di institusi atau dalam komuniti.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno memberitahu, AADK turut menetapkan sasaran meningkatkan pengesanan secara aktif Orang Yang Disyaki (OYDS) menyalah guna dan menagih dadah.

“Pengesanan secara aktif OYDS menyalah guna dan menagih dadah akan dilakukan di setiap daerah melalui pelaksanaan Model i-Prihatin AADK berlandaskan undang-undang semasa.

“Langkah ini bagi membolehkan proses rawat pulih dijalankan sewajarnya dan kepulihan klien dikekalkan sepanjang hayat,” jelasnya lanjut.

Pada masa sama, strategi tahun 2022 juga melibatkan usaha memperkukuhkan program rawatan dan pemulihan klien di institusi dan dalam komuniti berasaskan Model i-Pulih AADK.

Usaha memperkukuhkan program rawatan dan pemulihan klien di institusi dan dalam komuniti berasaskan Model i-Pulih AADK antara strategi AADK bagi tahun 2022.

Accessibility Toolbar