AADK Daerah Kubang Pasu, SKUAD Antidadah dan JKPD gerak program “Walkabout’ Perdana

Oleh : Mohd Nazmir Mahadzir

JITRA, 24 Februari 2024 – Bersempena dengan sambutan Peringatan Hari Antidadah yang diadakan serentak di seluruh negara pada hari ini, AADK Daerah Kubang Pasu telah menganjurkan Program Walkabout Perdana 2024.

Program dengan kerjasama SKUAD Antidadah Daerah Kubang Pasu dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kubang Pasu bermula pada pukul 8 pagi sehingga jam 1 tengahari itu diadakan di Tasik Darulaman, di sini.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan dalam program ini termasuk pendaftaran Kempen 1 Juta Ahli SKUAD Antidadah sebagai langkah proaktif untuk mengumpulkan pasukan sukarelawan dalam menggerakkan program-program kepada kumpulan sasar.

Selain itu, pameran antidadah, edaran pamplet dan permainan interaktif turut diadakan bersama pengunjung yang hadir ke taman rekreasi tersebut.

Menurut Ketua AADK Daerah Kubang Pasu, Norhiza Lah, program ‘Walkabout’ Perdana ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan yang berkesan dalam usaha membanteras gejala dadah di kalangan masyarakat setempat.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat memberi dorongan kepada semua pihak untuk terlibat secara aktif dalam membantu pihak AADK untuk mencapai misi 1 juta ahli SKUAD Antidadah berdaftar di seluruh negara.

“Kami harap dengan kesedaran dan usaha bersama, masyarakat akan lebih cakna dalam usaha untuk membantu mengurangkan masalah dadah dalam kalangan generasi masa hadapan,” katanya.

Turut hadir bersama dalam program Pengerusi SKUAD Antidadah, Mohd Fitri Nazri; Pengerusi JKPD, Nurun Ehsan Hasbullah; Penghulu Mukim Naga, Qairul Hilmi Ibrahim dan IKON Antidadah, Muhammad Riduan Ismail.

Accessibility Toolbar