YB Datuk Seri Rina Santuni Klien PUSPEN Bachok

Oleh: Nur Firdayu Boniyamin

BACHOK, 29 September 2021– “Saya doakan mereka kekal istiqamah dan berjaya dalam kehidupan selepas tamat tempoh pemulihan.”

Titipan manis tersebut dizahirkan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi laman sosial Facebooknya.

Perkongsian tersebut adalah bersempena lawatan kerja beliau ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan pada 25 September lalu.

Dalam siri lawatan selama dua jam itu, YB Datuk Seri Rina telah meluangkan masa menyantuni klien yang sedang melakukan aktiviti-aktiviti latihan kerjaya.

Antaranya ilmu jahitan, kecantikan dan teknik mencanting batik.

Ini termasuklah, melihat fasiliti dan kemudahan rawatan pemulihan yang disediakan untuk kegunaan klien di PUSPEN Bachok.

Pada kesempatan itu, YB Datuk Seri Rina juga tidak melepaskan peluang meniupkan kata-kata semangat kepada klien agar membina masa depan yang lebih baik kelak. Hadir sama pada sesi lawatan kerja tersebut ialah YB Dato Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri KPWKM.

Accessibility Toolbar