Sahabat Kita Demi Negara berpeluang sertai aktiviti KDN, agensi

Oleh Izyan Liyana Mohd Darif

KUALA LUMPUR, 17 Mac 2022 – Kementerian Dalam Negeri menyasarkan seramai 20,000 Keluarga Malaysia menyertai sukarelawan Sahabat Kita Demi Negara (KDN).

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, Sahabat KDN berperanan sebagai ejen penyebar maklumat tepat dan sahih berkaitan keselamatan, sekali gus bertindak sebagai pemacu kepada pencapaian sasaran kempen Kita Demi Negara.

“Pihak kementerian menyasarkan Sahabat KDN akan disertai sekurang-kurangnya 20,000 sukarelawan terdiri daripada belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penuntut institusi pengajian tinggi (IPTA) dan sekolah.

“Mereka (Sahabat KDN) berperanan sebagai ejen penyebar maklumat tepat dan sahih berkaitan keselamatan, sekali gus bertindak sebagai pemacu kepada pencapaian sasaran kempen Kita Demi Negara antaranya meningkatkan kesedaran dan patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dato’ Seri Hamzah mengalu-alukan Keluarga Malaysia mendaftar sebagai ahli Sahabat KDN bagi membantu menyalurkan maklumat tepat berkaitan keselamatan kepada pihak kementerian. – Gambar AADK/ MUHAMMAD AMIR ZAHIEN DAN MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut menjayakan program ialah Timbalan Menteri KDN II, YB Datuk Jonathan Yasin; Ketua Setiausaha KDN, Datoโ€™ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Hamzah turut menjelaskan bahawa Sahabat KDN berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti anjuran agensi di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dato’ Seri Hamzah (kanan) meluangkan masa bermain jenga bersama Tuan Sutekno ketika singgah ke booth AADK pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar AADK/ MUHAMMAD AMIR ZAHIEN DAN MUHAMMAD RASHDAN MOHD ZAKARIA

“Mereka yang telah mendaftar akan menerima pasport keahlian dan berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti kendalian semua agensi di bawah kementerian (KDN).

“Antaranya, menyertai anggota Rela, program menembak bersama PDRM dan aktiviti AADK bagi mengurangkan kes penagihan dadah dan meningkatkan kepulihan klien serta banyak lagi.

“Kemudian, cop akan diberikan pada pasport Sahabat KDN sebagai tanda pengesahan menyertai aktiviti yang dilaksanakan. Selain itu, sukarelawan Sahabat KDN yang mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) bakal menerima hadiah daripada pihak kementerian,” ujarnya lanjut,

Justeru, beliau menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk bersama-sama KDN mendaftar sebagai ahli Sahabat KDN.

Accessibility Toolbar