PUSPEN bukan tempat lempias hukuman – KP AADK

Oleh: Fauzi Suhaimi dan Mohamad Rashdan Zakaria

BENTA, 29 November 2023 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon menegaskan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di bawah kendalian AADK bukanlah tempat untuk ‘melangsaikan’ hukuman kepada penagih dadah, sebaliknya institusi untuk memulihkan mereka sepanjang hayat.

Tuan Sutekno berkata, tanggapan negatif terhadap PUSPEN perlu dihapus serta-merta agar proses rawatan dan pemulihan yang diterima klien boleh diadaptasi dan dipraktikkan selepas tamat program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI).

“Semua sahabat klien seharusnya menjadikan ini sebagai satu rezeki dan nikmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya. Nikmat ini jarang diberikan kepada orang yang tidak berada di sini.

“Saya berharap sahabat klien semua dapat mensyukuri nikmat ini dan jangan menanggap nikmat ini sebagai satu hukuman.

“Jika ia terus dilihat sebagai bentuk hukuman, matlamat untuk memastikan semua yang berada di sini menuntut ilmu menerusi sembilan komponen yang ada dalam Model i-Pulih AADK tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK bersama klien sempena Lawatan Kerja di PUSPEN Benta dan PUSPEN Raub, di sini pada Rabu.

Sebagai rekod, PUSPEN Raub menjadi PUSPEN terakhir dalam siri Lawatan Kerja Ketua Pengarah AADK sekali gus menjadi PUSPEN ke-30 di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno berkata, semua ilmu yang didedahkan di dalam PUSPEN boleh digunakan untuk menjalani kehidupan baharu selepas melangkah keluar bersama pangkuan keluarga dan masyarakat.

“Di dalam PUSPEN, AADK dedahkan dengan pelbagai ilmu antaranya fardu ain, latihan kemahiran, integrasi masyarakat dan banyak lagi.

“Selepas keluar nanti, jika ada kebolehan menjahit, menghasilkan kraf tangan atau apa sahaja, maka gunakan ilmu ini untuk kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Accessibility Toolbar