PUSPANITA KDN zahir sokongan kepada klien AADK melalui Program ‘Survive And Thrive’

Oleh: Syakilah Muhd Khir

KUALA LUMPUR, 23 September 2022 – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengadakan Program ‘Survive And Thrive’ Bersama Klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi di sini.

Program yang julung kali diadakan adalah bagi mendidik para klien dalam membentuk disiplin seterusnya dapat meningkatkan kemahiran merancang strategi di samping dapat mengeratkan ukhwah antara ahli PUSPANITA KDN bersama klien AADK. Program yang dirasmikan oleh Pengerusi PUSPANITA KDN, Datin Sri Dr. Azlifah Bahari itu menyatakan perasaan teruja dengan adanya program sebegini kerana dapat beramah-mesra dan meluangkan masa untuk beriadah bersama klien-klien AADK di PUSPEN Sungai Besi ini.

Datin Sri Dr. Azlifah berkata, semua klien AADK diingatkan supaya mengambil kesempatan untuk mengukur keupayaan diri-sendiri dan percaya akan potensi tersendiri. “Gunakan kesempatan ini untuk mengukur keupayaan diri sendiri dan percayalah bahawa kita semua mempunyai potensi yang tersendiri selaras dengan tema kita pada hari ini iaitu ‘survive and thrive’ untuk terus hidup dan berkembang maju.

“Kepada para klien yang saya hormati, saya berharap anda semua sentiasa yakin dan percaya pada diri bahawa anda semua mampu untuk mengekalkan kepulihan dan berjaya membuat perubahan kepada diri-sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Survive and Thrive bersama klien PUSPEN Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, Datin Sri turut meluangkan masa dengan melawat fasiliti PUSPEN dan bersua muka dalam sesi kelompok bersama klien. Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan ialah permainan sukan rakyat dan sesi perkongsian pengalaman klien. Turut hadir Timbalan Pengerusi I PUSPANITA KDN, Datin Aniza Abdul Rahim; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil AADK, Puan Ummukalthom Bujang, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Chan Hong Jin dan Pengarah PUSPEN Sungai Besi, Puan Nurshuhaila Abdul Rahman.

Pengarah PUSPEN Sg. Besi, Puan Nurshuhaila Abdul Rahman ketika menyampaikan taklimat kepada Datin Sri Dr. Azlifah Bahari tentang kemudahan fasiliti yang disediakan pihak AADK. – Gambar AADK / Amir Zahein

Accessibility Toolbar