Program Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2019 Peringkat PUSPEN Serendah

PUSPEN Serendah, 26 Februari 2019: PUSPEN Serendah telah mengadakan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan Peringkat PUSPEN Serendah bagi Tahun 2019 yang bertemakan “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” bertempat di Dataran Padang Kawad, PUSPEN Serendah.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan dan maklumat yang berkesan kepada peserta khususnya kakitangan dan penghuni-penghuni PUSPEN Serendah.

Objektif sambutan ini adalah untuk mendidik klien menghayati amalan hidup sihat tanpa dadah dan terhindar dari perlakuan negatif yang lain. Selain daripada itu, program ini juga diharap dapat meningkatkan semangat dan keyakinan diri penghuni melalui amalan sikap yang positif seterusnya membantu klien dalam menghadapi cabaran hidup dengan lebih jelas dan yakin.

Program dimulakan dengan ucapan aluan dari Tuan Mokhtarudin Bin Mohamad, Pengarah PUSPEN Serendah. Seterusnya bacaan Perutusan Ketua Pengarah AADK oleh Puan Aziah Binti Daud, Timbalan Pengarah Operasi, PUSPEN Serendah.  Dalam perutusan tersebut, diingatkan supaya kita semua harus memberikan pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah, dan menyedarkan ahli komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dadah sejajar dengan tema Bulan Antidadah pada tahun ini iaitu “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita”. Pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiatkan keterlibatan komuniti dan kolaborasi pelbagai pihak dalam membentuk komuniti yang aktif dan berdaya huni bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman dan selamat.

Sambutan diteruskan dengan gimik pelancaran program iaitu tiupan belon mesej antidadah oleh Pengarah dan tetamu jemputan yang lain. Klien juga diberi peluang untuk melakukan gimik tersebut bagi menyampaikan mesej antidadah masing-masing yang bakal menjadi panduan kepada kepulihan mereka.

Program diteruskan dengan solat hajat dan bacaan yaasin oleh kakitangan dan tetamu jemputan bersama penghuni di Masjid Tarbiyatul Akhlak, PUSPEN Serendah. Bacaan yaasin dipimpin oleh Ustaz Haris dari Ahli Lembaga Pelawat. Selesai bacaan yaasin, satu ceramah bertajuk “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” disampaikan oleh Tuan Abdul Rahman, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah. Penyampaian yang berkesan memberikan impak yang positif dan tersemat di dalam hati semua penghuni. Program tamat pada jam 12.00 tengahari.