Penyalahgunaan dadah di Terengganu turun 3.7 peratus

Oleh: Nur Izmawati Izwar Arfani

KUALA TERENGGANU, 15 Jun 2022 – Bilangan penagih dan individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan substan di Terengganu mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus bagi tahun 2021.

Kadar tersebut merekodkan seramai 12,033 orang (tahun 2021) berbanding 12,499 orang tahun sebelumnya.

Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Md. Saidin Mohd Noor berkata, biarpun statistik menunjukkan penurunan, tetapi Terengganu kekal antara negeri berhadapan masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini.

“Kebanyakan individu terlibat merupakan golongan belia dan situasi membimbangkan susulan peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti Methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia.

“Sehubungan itu, AADK komited dan sentiasa berusaha membanteras penyalahgunaan dadah dan substan di negeri ini dengan melaksanakan operasi serta kempen pencegahan secara berterusan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri pula mengingatkan penjawat awam di negeri tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan masalah tersebut kerana ia melibatkan imej kerajaan.

“Kita (kerajaan negeri) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam terlibat dadah dan tindakan disiplin akan diambil kerana ia bukan sahaja menjejaskan individu, malah imej seluruh agensi,” jelasnya.

Accessibility Toolbar