Pemangku Raja Perlis lancar jenama, logo SUKA AADK

Oleh: Fauzi Suhaimi

PADANG BESAR, 29 Mei 2023 – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan jenama dan logo produk keluaran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) iaitu Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA).

Tuan Sutekno (kiri) bersama Pemangku Raja Perlis (kanan) ketika baginda melancarkan jenama dan logo produk keluaran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). – Gambar AADK/Muhammad Amir Zahien.

Pelancaran itu diadakan sempena dengan Program Hari Terbuka AADK 2023 dan keberangkatan tiba baginda di PUSPEN Bukit Chabang di sini, disambut Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah PUSPEN Bukit Chabang, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad.

Tuan Sutekno berkata jenama dan logo produk SUKA itu akan digunakan oleh AADK untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh klien meliputi empat bidang utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan penternakan.

“Sesuai dengan maksud perkataan SUKA, kita mengajak masyarakat untuk sama-sama menyokong usaha klien PUSPEN membina hidup baharu dan bebas daripada najis dadah.

“Melalui empat bidang utama tersebut, kini AADK mempunyai beberapa produk utama seperti produk berasaskan makanan, kimpalan, perkhidmatan pemasangan khemah untuk kenduri, pramusaji dan jahitan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jenama dan logo produk SUKA di sini pada Isnin.

Tuan Sutekno berkata, setakat ini lebih sepuluh jenis produk dihasilkan oleh 30 PUSPEN seluruh negara dan AADK menjangkakan jualan mencecah RM500,000 pada tahun ini.

“Selain secara terus, produk ini juga akan dijual secara dalam talian kerana AADK merancang untuk membangunkan laman web perniagaan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk SUKA,” katanya.

Accessibility Toolbar