MTMD Melaka Bil. 1 lulus pelaksanaan TEKAD

Oleh: Mohd Nadmin Ramlan

AYER KEROH, 23 September 2022 – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Melaka Bilangan 1 tahun 2022 telah meluluskan cadangan pelaksanaan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di Jabatan dan Agensi Kerajaan seluruh Negeri Melaka. Dengan kelulusan ini, sebanyak 21 Jabatan Kerajaan Negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 54 Jabatan Kerajaan Persekutuan di Negeri Melaka akan melaksanakan TEKAD secara berfasa mulai tahun ini sehingga tahun 2025.

Dengan pelaksanan TEKAD, MTMD Negeri Melaka menyasarkan kos kemudaratan akibat penyalahgunaan dadah di tempat kerja dapat diminimakan dan persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat dapat dicapai sekaligus meningkatkan produktiviti pekerja. Selain itu, pelaksanaan TEKAD di Negeri Melaka adalah untuk menggerakkan pekerja sektor awam di negeri itu sebagai ejen antidadah dalam komuniti dan keluarga.

Pengarah AADK Negeri Melaka, Wan Madihi Wan Salleh (dua dari kanan) ketika membentangkan kertas cadangan pelaksanaan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan seluruh Negeri Melaka. – Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Terdahulu YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka mempengerusikan Mesyuarat MTMD Bil.1/2022 yang turut menekankan mengenai kepentingan pendidikan pencegahan perlu bermula di peringkat sekolah rendah. YAB Pengerusi menyeru agar Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersinergi dalam melaksanakan program-program kesedaran dan pencegahan antidadah secara berkesan dan tersusun dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh Negeri Melaka. Mesyuarat MTMD pada kali ini turut membincangkan mengenai Statistik Tangkapan dan Pengedaran Dadah di Negeri Melaka yang dibentangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Senario Penyalahgunaan Dadah dan Bahan yang dibentangkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mesyuarat juga mengambil perhatian ke atas pembentangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mengenai pemantapan Program Pencegahan Dadah (PPDa) di Negeri Melaka dan pembentangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengenai Dadah Sintetik: Trend Penagihan Masa Kini. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari, EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka, Dr Muhamamad Akmal Saleh, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datoโ€™ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin dan Pengarah AADK Negeri Melaka; Wan Madihi Wan Salleh.

Accessibility Toolbar