Oleh: Jackson Vincent
PUTRAJAYA, 23 November 2023 – Seramai 30 pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mewakili semua negeri termasuk dari Bahagian Pencegahan menghadiri Training of Trainer (TOT) Strong Families yang diadakan di Hotel Mercure, Putrajaya.
TOT diadakan selama tiga hari bertujuan untuk melatih dan menyediakan pegawai AADK sebagai kumpulan pelopor bagi modul Strong Families yang telah dilaksanakan di pelbagai negara antaranya di Indonesia, Filipina, Zanzibar Serbia, Afganistan, Uzbekistan, Republik Dominica, Senegal, Cote D’Ivior dan Amerika Syarikat.
Menurut Ketua Unit Antarabangsa AADK, Norkumala Abdul Rahman program latihan ini adalah anjuran United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) bagi rantau Asia yang berpengkalan di Thailand.
“Saya berharap semua peserta mengambil peluang keemasan ini untuk menambah ilmu baharu dari latihan yang dianjurkan oleh UNODC selama 3 hari ini malah boleh digunakan sebagai input tambahan kepada penambahbaikan program-program Pendidikan Pencegahan sedia ada untuk diadaptasi mengikut kesesuaian di dalam komuniti,” ujar semasa membuka sesi latihan di sini, baru-baru ini.
Sesi latihan telah dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih bertauliah, Dr. Aala El-Khani dibantu Cik Watjana Arunrangsi (UNODC Bangkok) telah memberi impak yang positif dalam menambah kompetensi pegawai sepanjang pengisian latihan modul Strong Families itu sendiri.
Sementara itu, menurut Penolong Pengarah AADK Kedah, Rajesvary Gonoselan, semua pengisian yang didedahkan bagi melaksanakan program Strong Families adalah amat praktikal serta berbaloi kepada peserta yang menyertainya.
“Pengisian program Strong Families disyorkan bagi pelaksanaan intervensi kepada 10 keluarga yang merangkumi penjaga dan anak-anak berumur lingkungan 8-12 tahun.
“Ia dilaksanakan selama 3 minggu yang mana setiap sesi berlangsung selama 1 jam. Minggu pertama hanya melibatkan penjaga sahaja selama sejam manakala minggu kedua akan melibatkan penjaga dan anak-anak dan begitu juga pada minggu seterusnya juga melibatkan penjaga dan anak-anak,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia adalah negara terkini diberi latihan modul Strong Families disamping itu beberapa negara lain telah diberi latihan dan telahpun melaksanakan program ini dengan jayanya.
Justeru, Malaysia akan melangkah ke hadapan untuk merancang dan melaksanakannya mengikut pelan yang akan dirangka oleh semua peserta latihan ini.
AADK melalui Bahagian Pencegahan dibantu oleh Unit Antarabangsa akan menyelaras adaptasi modul ini termasuk proses memuktamadkan pengalihan bahasa bagi modul Strong Families kepada Keluarga Utuh atas persetujuan daripada pihak UNODC.
Dalam pada itu, Dr. Aala berharap peserta akan dapat merangka pelan yang komprehensif bagi pelaksanaan program dalam masa terdekat.
“Selain itu, usaha ini juga dapat melatih kelompok jurulatih baharu bagi program sebegini agar pelaksanaan dapat diperluaskan lagi”, jelasny