KP AADK adakan lawatan kerja ke Perlis

Oleh: Fauzi Suhaimi

KANGAR, 26 Ogos 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon mengadakan lawatan kerja ke AADK Negeri Perlis pada Jumaat. Lawatan kerja itu bertujuan untuk bersua muka dan menyantuni warga AADK Negeri Perlis selain memastikan persekitaran, aktiviti termasuk pelaksanaan tugas berada dalam keadaan baik.

Dalam sesi itu, Ketua Pengarah telah diberikan taklimat gerak kerja oleh Pengarah AADK Negeri Perlis, Khairul Anuar Ahmad. Selain itu, Tuan Sutekno turut menyampaikan amanat, nasihat, dan teguran kepada kakitangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti.

Dalam sesi lawatan tersebut, Tuan Ketua Pengarah mengambil kesempatan menunaikan Solat Fardu Jumaat di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang selain mengambil peluang bertemu dengan klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) itu.

Sementara itu, Tuan Sutekno turut mengadakan lawatan ke Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Padang Besar bagi melihat kesiapsiagaan unit itu selepas negara jiran mengeluarkan pokok ganja daripada senarai narkotik terlarang sejak Jun lalu. Disamping itu, Tuan Sutekno turut bertemu dengan beberapa pihak berkuasa Thailand iaitu Head of Padang Besar Customs House, Chao Chalermkiat; Director of Customs Control, Arthit Chaiyapak dan Ahli Jawatankuasa Datuk Bandar Bandaran Padang Besar.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Puan Chan Hong Jin; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan), Hamizan Hidzir dan Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti), Dr Nazira Sadiron.

Tuan Sutekno turut meluangkan masa memeriksa kesiapsiagaan Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Padang Besar – Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Accessibility Toolbar