Klien AADK dilayan sebagai pesakit, bukan pesalah

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KAJANG, 20 Januari 2022 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyeru agar semua pihak yang mempunyai masalah penagihan atau penyalahgunaan dadah dan substan untuk merujuk agensi dengan segera.

Ini disebabkan AADK sentiasa memberi peluang kepada mereka menerima rawatan dan pemulihan supaya dapat kembali dan berfungsi dalam masyarakat.

Tambahan pula, kumpulan klien yang menjalani program rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK tidak dilayan seperti pesalah, sebaliknya pesakit yang dirawat secara menyeluruh menerusi Model i-Pulih AADK.

Bukan itu sahaja, AADK juga komited memperluaskan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dual diagnosis melibatkan isu penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental peringkat awal di semua fasiliti AADK termasuk di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.

Dalam pada itu, pihak agensi turut berharap agar keluarga tidak berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan ahli keluarga.

Sebaliknya, wajar menjadikan bantuan rawatan dan pemulihan AADK sebagai salah satu kaedah untuk mengeratkan kasih sayang.

Pada masa sama, masyarakat diseru untuk tidak memandang serong terhadap individu yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan di AADK.

Sekiranya anda atau orang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK, hadir ke pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233.

Accessibility Toolbar