Keluarga perlu main peranan banteras gejala dadah

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

KUALA LUMPUR, 10 Disember 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyarankan institusi keluarga memainkan peranan aktif bagi mencegah ahli keluarga terjebak ke kancah penagihan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, inisiatif itu secara tidak langsung dapat membantu membanteras masalah dadah yang boleh memberi ancaman kepada masyarakat, negara dan pembangunan sosioekonomi.

Pada masa sama, matlamat tersebut disifatkan selari dengan teras 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosial dan memperkukuhkan penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia.

“Kita menyeru Keluarga Malaysia bekerjasama dengan AADK dan kementerian (KDN) untuk melaporkan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah baik dalam kalangan ahli keluarga mahupun masyarakat.

“Keluarga juga perlu ambil tahu aktiviti ahli keluarga dalam erti kata lain ‘jaga tepi kain’ untuk elak masalah ini (dadah),” katanya.

pameran keluarga malaysia
Tuan Sutekno (gambar kecil) menyeru orang ramai segera melaporkan sekiranya terdapat aktiviti salah guna dadah dalam kalangan ahli keluarga ataupun masyarakat. – Gambar AADK / HAKIM SUHAMI

Beliau berkata demikian, pada siri lawatan kerja di booth AADK di Pavilion Kementerian Dalam Negeri sempena Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang berlangsung antara 9 hingga 12 Disember lalu.

Sementara itu, Tuan Sutekno turut menjelaskan bahawa AADK akan memperkenalkan satu projek rintis pada tahun 2022 sebagai saluran baharu perkhidmatan rawatan kepulihan berkonsepkan mobil buat kumpulan klien.

“Sebelum ini proses rawatan dan kepulihan cuma dipraktikkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN dan komuniti.

“Namun begitu, kini AADK ambil insiatif mewujudkan perkhidmatan rawatan secara mobil. Kami (AADK) akan pergi ke tempat-tempat yang terdapat kumpulan penagih dadah contohnya di penjara dan pusat penjagaan kanak-kanak,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno turut menyarankan orang ramai segera merujuk pihak agensi atau menghubungi Pusat Gerakan Hotline di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233 untuk khidmat nasihat atau aduan aktiviti salah guna dadah.

poster hotline
Pusat Gerakan Hotline AADK beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Accessibility Toolbar