KDN Komited Realisasi Malaysia Sejahtera Tanpa Dadah dan Dadah Terkawal 2025

Oleh : Izyan Liyana Mohd Darif

Kajang, 22 September 2021 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk merealisasikan Malaysia Sejahtera Tanpa Dadah dan Dadah Terkawal 2025.

Menterinya, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, isu penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling menyokong dan seimbang antara pengurangan permintaan dan penawaran.

“Pihak kementerian dan Agensi Antidadah Kebangsan (AADK) telah menyediakan draf Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Sebelum membentangkan Akta tersebut di Parlimen, Kementerian akan mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh daripada semua pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini adalah untuk memastikan Akta baharu merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan tersusun bagi membolehkan lebih ramai penagih dan penyalahguna dadah serta substan menerima rawatan dan pemulihan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 hari ini.

Program bertemakan ‘Solidariti Kepulihan’ itu diadakan secara sidang video dan disertai para pegawai tertinggi KDN dan AADK serta kumpulan peserta simposium.

Turut hadir ialah Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KDN dan Tuan Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah AADK.

Tambah Hamzah, pemilihan tema ‘Solidariti Kepulihan’ bertepatan dengan usaha AADK yang proaktif untuk meningkatkan kadar pengekalan kepulihan dalam kalangan klien AADK, sekali gus memberikan peluang kedua buat bekas klien kembali berbakti kepada masyarakat.

“Simposium ini juga salah satu cara Kementerian melalui AADK mengembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien seramai 1,500 peserta,” jelas beliau lanjut.

Menurut Hamzah, perkhidmatan pemulihan juga tidak terjejas ketika pandemik Covid-19, malah penggunaan teknologi dipertingkatkan bagi memastikan klien mendapat akses rawatan.

“Paling utama pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat harus dilakukan secara konsisten bagi menyedarkan masyarakat bahawa penagihan dadah adalah pesakit yang perlu dirawat,” ujarnya.

Accessibility Toolbar