Karnival kerjaya buat belia, klien dalam komuniti kawasan Penanti

Oleh Hazari Ali

PULAU PINANG, 27 November 2021 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) proaktif melaksanakan pelbagai program bermanfaat buat golongan belia di negeri tersebut.

Satu daripadanya menerusi penganjuran Karnival Jom Kerja Penanti 2021 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Guar Perahu di sini baru-baru ini.

Ia bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada kelompok pencari kerja khususnya anak muda dan klien dalam komuniti di kawasan Penanti.

Usaha berkenaan secara tidak langsung dilihat dapat mengelakkan golongan belia menganggur daripada melakukan aktiviti tidak sihat misalnya, terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Selain itu, Karnival Jom Kerja Penanti 2021 juga dianjurkan bagi mengurangkan kadar pengangguran yang mana implikasinya akan menjejaskan aspek sosial dan ekonomi penduduk setempat.

Sebanyak 20 kaunter kerjaya dibuka termasuk pameran Pendidikan Pencegahan Dadah AADK, seminar kekeluargaan dan klinik bola sepak.

Program yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Kebangsaan itu dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee.

Hadir sama menjayakan program ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung.

Selain Karnival Jom Kerja Penanti 2021 pada hari tersebut turut diadakan program perasmian Pusat Belia Penanti.

aadk penang
SOON LIP CHEE (empat dari kiri) merasmikan Karnival Jom Kerja Penanti 2021 dan Pusat Belia Penanti di Dewan Serbaguna Taman Guar Perahu, Pulau Pinang baru-baru ini. – Gambar AADK/ HAZARI ALI
Karnival Jom Kerja Penanti 2021 membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dan klien dalam komuniti di kawasan Penanti. – Gambar AADK/ HAZARI ALI
Sebanyak 20 kaunter kerjaya dibuka termasuk pameran Pendidikan Pencegahan Dadah AADK, seminar kekeluargaan dan klinik bola sepak. – Gambar AADK/ HAZARI ALI

Accessibility Toolbar