AUDIT Pensijilan Semula ISO/IEC 27001:2013 Di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Oleh SIRIM

3 Mei 2019 – Pengauditan Sistem Keselamatan Pengurusan Maklumat (ISMS) telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan Audit Pensijilan Semula ISO/IEC 27001:2013 di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Audit yang berlangsung pada 2-3 Mei 2019 telah dikendalikan oleh juruaudit SIRIM yang terdiri daripada Encik Azran bin Mohammad Ridzuan (Ketua Juruaudit) dengan dibantu oleh Puan Suhaila binti Ariffin dan Puan Rohazlin binti Md Yassin.

Sepanjang 2 hari program audit, Pasukan Audit SIRIM telah melaksanakan pengauditan yang merangkumi skop pensijilan iaitu Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) bagi Pengurusan Pusat Data AADK bagi Sistem MyAADK di Ibu Pejabat AADK. Liputan audit adalah berdasarkan keperluan Standard ISO/IEC 27001:2013 di Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) sebagai lokasi utama serta meliputi Pusat Data Sektor Awam (PDSA), Bandar Enstek dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai lokasi fungsi sokongan.

Pihak SIRIM telah mengumumkan rumusan serta hasil penemuan audit di Bilik Mesyuarat Petunia, Aras 3, Ibu Pejabat AADK semasa Mesyuarat Penutup Audit yang diadakan pada 3 Mei 2019. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengarah BTMK, Puan Lilian Lou Yang Cheng selaku ICT Security Officer (ICTSO) AADK. Komitmen terhadap pelaksanaan ISMS yang berterusan telah membuahkan hasil apabila AADK telah berjaya disyorkan untuk pensijilan semula ISO/IEC 27001:2013 bagi tahun 2019. Namun begitu, pihak organisasi perlu memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil atas penemuan yang telah direkodkan.

Sekalung tahniah dan ucapan penghargaan kepada seluruh warga AADK atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sebelum dan sepanjang sesi pengauditan dilaksanakan di AADK. Semoga usaha yang murni ini dapat diteruskan bagi mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang.

Accessibility Toolbar