30 Mentor Capai Standard Kepulihan Dilantik Menjadi ‘Role Model’ Kepada Masyarakat

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

Kajang, 22 September 2021 – Seramai 30 orang Mentor yang berjaya mencapai standard kepulihan dilantik menjadi ‘role model’ kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri berkata, pelantikan itu adalah inisiatifi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membuktikan kepulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai (Recovery is Possible).

“Pada tahun ini, AADK memperkenalkan satu inisiatif baharu mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di AADK.

“Sudah banyak kejayaan dicapai menerusi program AADK. Pada tahun ini seramai 30 orang Mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri dilantik menjadi ‘role model’ kepada masyarakat untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.

“Pendekatan ini secara tidak langsung memberikan kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti yang disediakan kerajaan khususnya AADK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 hari ini.

Program bertemakan ‘Solidariti Kepulihan’ itu diadakan secara sidang video dan disertai para pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negeri dan AADK serta kumpulan peserta simposium.

Turut hadir ialah Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Tuan Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah AADK.

Dalam pada itu, Hamzah juga berharap agar program pemulihan berteknologi moden dipertingkatkan setanding negara luar. 

Accessibility Toolbar