16 KBT jadi sasaran tahun ini

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

TANJUNG KLING, 24 Februari 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan 16 kawasan ‘panas’ yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) untuk ditukar statusnya menjadi kawasan berisiko rendah (KBR) tahun ini.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, ia adalah antara usaha pihaknya untuk menurunkan unjuran pengukuran keparahan penagihan dadah di negara ini daripada 437 kes bagi setiap 100,000 penduduk, kepada 400 kes, menjelang tahun 2025.

“Jadi antara usahanya adalah untuk memastikan 155 kawasan yang dikenal pasti sebagai KBT menjadi KBR dalam tempoh lima tahun bermula 2021,” katanya dan menambah tahun lepas 77 KBT berjaya ditukar status kepada KBR.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Walkabout Perdana sempena Peringatan Hari Antidadah 2024 di Pantai Puteri di sini, pada Sabtu.

Turut hadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil dan Pengarah Bahagian Pencegahan, Zainuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno berkata, sepanjang tahun lepas daripada 19,820 penagih yang menjalani Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan dinilai, 14,890 penagih dadah didapati telah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, beliau menambah, AADK turut menyasarkan penyertaan satu juta ahli Skuad AADK, terutama dalam kelangan golongan belia tahun ini.

Jelas beliau, setakat ini AADK telah berjaya menarik lebih 150,000 individu dan pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut termasuk menarik keahlian daripada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi,sekolah dan komuniti.

“Sukarelawan ini tidak semestinya buat ceramah antidadah semata-mata tetapi kita mahu skuad ini boleh buat aktiviti yang sihat sebagai salah satu cara mencegah penagihan dadah,” katanya.

Accessibility Toolbar