Oleh : Ct Ashlida binti Che Mat Razali
JELEBU, 22 Ogos 2023 – Faktor persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif terhadap bekas penagih dilihat menjadi punca penagih dadah sukar dipulihkan sekali gus berlakunya penagihan semula.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, hal yang demikian berlaku kerana, mereka melihat seseorang penagih sebagai individu yang tidak berguna lagi.
“Walaupun banyak faktor lain, namun hari ini saya lihat faktor ini menjadi penyumbang terbesar berlakunya kes-kes penagihan berulang atau relapse.
“Meskipun mereka telah mengikut program Rawatan dan Pemulihan sama ada dalam institusi (RPDI) atau komuniti (RPDK) di AADK, tetapi apabila mereka tamat, mereka sukar mendapat tempat dalam masyarakat mahupun keluarga.
“Mereka terus disisihkan, dipandang serong dan lebih malang lagi melemparkan kata- kata yang tidak sewajarnya,” katanya.

Tuan Sutekno meletakkan Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan sebagai tanda gimik pelancaran Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK 2023. Gambar AADK / Amir Zahien
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK 2023.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza.
Dalam pada itu, Sutekno berkata, stigma negatif yang dilemparkan terhadap penagih jelas memburukkan keadaan.
“Ini sebenarnya menjadi penyumbang seterusnya mempengaruhi keputusan individu yang telah menjalani rawatan dan pemulihan kembali menagih dadah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem sokongan lain terutamanya keluarga dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan mereka kekal dalam kepulihan.
“Bantulah mereka untuk mencapai kepulihan kelak dengan menukar persepsi negatif yang selama ini menjajah fikirkan kita semua.
“Bebaskan atau merdekakan fikiran dan tanggapan kita semua dengan menzahirkan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan tempat untuk terus berjuang mendapatkan kepulihan sepanjang hayat.
“Saya percaya, dengan sokongan ini, ramai klien-klien AADK boleh menjalani kehidupan yang sejahtera dan bahagia bersama keluarga tersayang,” ujarnya.