YB Tuan Azman Mempengerusi Mesyuarat MTMD Negeri Perlis

Perlis, 17 Ogos 2021 – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Tahun 2021 Peringkat Negeri Perlis telah diadakan di Bilik Gerakan 1 Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini secara sidang video dan bersemuka (hibrid).

Mesyuarat tersebut dipengerusikan YB Tuan Azman Bin Yusof, Pegawai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis yang mewakili YAB Dato’ Seri Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis.

Antara perkara penting yang telah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah YB Pengerusi menyarankan kepada semua agensi Kerajaan, Swasta dan pemimpin masyarakat di Negeri Perlis untuk bersama-sama dalam usaha membanteras dadah sekali gus membantu dan berkolaborasi secara jitu dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menjayakan usaha mencapai Dadah Terkawal menjelang Tahun 2025.

Pihak kerajaan negeri telah meluluskan beberapa cadangan seperti pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 iaitu Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) bagi Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial Negeri Perlis serta meluluskan pelaksanaan Bengkel Kepimpinan Pelajar mengunakan modul Teori Tingkah laku Kognitif (CBT) daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat berkenaan, YB Pengerusi meminta AADK Negeri Perlis untuk mengutamakan pelaksanaan Bengkel Jiwa Murni Basmi Dadah daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) masing-masing dibawah peruntukkan berjumlah dari RM5,100.00 hingga RM138,600.00 yang perlu diperhalusi dan mengadakan perbincangan lanjut bersama Pegawai Kewangan Negeri.

Sementara itu, YB Pengerusi turut mencadangkan agar semua program di KBT dijalankan secara serentak bukan mengikut pelan fasa tindakan yang dicadangkan atas alasan Negeri Perlis merupakan negeri yang kecil.

Beliau juga berharap agar semua jabatan Kerajaan, Swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dapat bersama-sama berkolaborasi dalam menangani masalah penyalahguna substan dan pelencongan sosial.

Turut hadir dalam mesyuarat it bagi mewakili Ketua Pengarah AADK ialah Tuan Othman bin Mohamed Nazari, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan AADK.

Accessibility Toolbar