YB Datuk Rahmad Mempengerusi Mesyuarat MTMD Negeri Melaka

Melaka, 29 Julai 2021 – Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1/2021 Peringkat Negeri Melaka telah diadakan di Bilik Mesyuarat Tun Ali Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini secara sidang video.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan YB Datuk Rahmad bin Mariman, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka mewakili YAB Datuk Seri Haji Sulaiman Bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka.

Antara perkara penting yang diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan ialah YB Datuk Pengerusi menyeru supaya semua jabatan, agensi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti untuk sama-sama membantu serta berkolaborasi secara jitu dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menjayakan usaha mencapai Dadah Terkawal menjelang Tahun 2025.

Pihak kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi pelaksanaan Program Fokus 5 Tahun Melaka Perangi Dadah: Penghijauan 10 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) manakala peruntukan bagi Program Zakat Asnaf Ar-Riqab dalam Memperkasakan Program Rawatan dan Pemulihan Orang Kena Pengawasan (OKP) Negeri Melaka diluluskan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Sementara itu, Smart Partnership antara AADK, MAIM dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi program-program keagamaan dan bantuan kepada OKP dan keluarga OKP Negeri Melaka akan diperluaskan.

Selian itu, masalah penagihan dan pengedaran dadah di Port Penagihan Krubong turut dibangkitkan dalam mesyuarat itu dan akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka bagi mendapatkan kerjasama dan tindakan daripada pemilik-pemilik tanah di kawasan Krubong tersebut.

Dalam mesyuarat itu juga, mewakili Ketua Pengarah AADK ialah Tuan Othman bin Mohamed Nazari, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan AADK.

Accessibility Toolbar