Warga, klien PUSPEN Sepang terjejas banjir kilat

Oleh: Amir Zahien Amran

SEPANG, 19 Disember 2021 – Hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak Jumaat lalu telah menyebabkan beberapa tempat khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang terjejas teruk.

Selain Lembah Klang, Shah Alam dan Klang, kawasan perumahan sekitar Kota Warisan, Sepang dan Dengkil termasuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang turut dilanda banjir susulan air Sungai Langat yang melimpah.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin, insiden terbabit telah mengakibatkan kawasan PUSPEN Sepang digenangi air sehingga menyebabkan banjir kilat. Kesannya, hampir keseluruhan kemudahan di pusat itu musnah termasuk barangan keperluan milik kakitangan yang menetap di kuaters PUSPEN Sepang.

Justeru, seramai 70 kakitangan yang tinggal di kuaters dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara di Kota Warisan manakala 90 klien lelaki pula ditempatkan di PUSPEN Dengkil.

“Setakat ini, seramai 60 orang warga PUSPEN dan ahli keluarga terlibat berjaya dibawa keluar dan dipindahkan ke dua tempat pemindahan sementara.

“Jadi sepanjang tempoh ini mereka akan tinggal di sini sehingga keadaan surut dan kita (AADK) akan mengaturkan penggantian kepada para pegawai bertugas di PUSPEN Dengkil.

“Sementara itu, seramai 90 orang klien lelaki pula ditempatkan sementara di PUSPEN Dengkil. Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan menjalankan program rawatan dan pemulihan di sana (PUSPEN Dengkil),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika siri turun padang meninjau keadaan warga PUSPEN Sepang yang ditempatkan di sebuah prasekolah dan inap desa di Kota Warisan baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Sade menjelaskan, AADK telah mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan langkah terbaik untuk membantu kakitangan dan keluarga PUSPEN yang terlibat dalam bencana banjir.

“Kita akan membantu khususnya dalam pasca banjir yang mana dicadangkan program gotong-royong membersihkan rumah ataupun kuarters kakitangan terbabit. “Ini termasuklah membantu dari segi pendaftaran dokumen-dokumen yang rosak akibat banjir,” jelas beliau lanjut.

Direkodkan, kejadian banjir di PUSPEN berkenaan merupakan kali keempat dalam tahun ini dan banjir kali ini adalah yang terburuk.

Accessibility Toolbar