Perkasa komuniti, bangkit lawan dadah

Oleh: Amir Zahien Amran

KUALA PILAH, 27 Mei 2023 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menganjurkan Sambutan Peringatan Hari Antidadah dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah bertempat di Stadium Bola Ngoca, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Program itu dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan diadakan sempena dengan Peringatan Hari Antidadah yang di sambut pada 26 Jun 2023 setiap tahun.

Tuan Sutekno(Tengah) menikmati sambutan Peringatan Hari Antidadah dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti. Gambar AADK/ Muhammad Amir Zahien

Program berkenaan diadakan dengan kolaborasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampong (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Sembilan serta rakan-rakan kolaborasi yang lain.

Objektif program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan memperkasa komuniti dalam melahirkan masyarakat yang bangkit menentang ancaman dadah selain memperkukuh, membentuk jati diri dan ketahanan (resilien) yang kuat dalam kalangan ahli keluarga.

Kanak-kanak menikmati aktiviti Karnival Mega Belia Beliawanis. Gambar AADK / Muhammad Amir Zahien

Antara program yang diadakan termasuk fitness dance ‘sihat, cergas dan langsing’; pameran perkhidmatan jabatan dan agensi; bas bergerak dan permainan interaktif aadk; perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT AADK); kaunter aduan, advokasi dan kaunter dan pendaftaran Skuad Antidadah.

Tuan Sutekno berkata, program berkenaan bertujuan bagi memperingati, menilai dan memperkukuhkan kesedaran antiadadah pelbagai lapisan masyarakat bergerak bersama kerajaan dalam usaha memerangi dadah secara menyeluruh bermula dari institusi keluarga.

“AADK menjadikan sambutan ini sebagai platform utama tahunan dalam menyebarluas mesej-mesej antidadah menerusi pelbagai saluran kempen dan aktiviti-aktiviti antidadah yang berkesan kepada keluarga, golongan belia dan komuniti,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato Ir Bakri Sawir; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pembangunan), YBHG Dato’ Muhammad Nahar Mohd Sidek; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Hadijah Baba.

Accessibility Toolbar