Oleh: Nabil Abdul Aziz
BENTONG, 20 Julai 2022 – Sekurang-kurangnya 20 peratus tenaga kerja membabitkan semua tempat kerja mengalami masalah personal yang memberi impak besar kepada prestasi kerja.
Daripada jumlah itu, sebanyak 12 peratus adalah berpunca daripada masalah berkaitan dadah dan alkohol manakala enam hingga lapan peratus pula mempunyai masalah melibatkan emosi.
Demikian adalah kajian Institut Kebangsaan bagi Penyalahgunaan Dadah (NIDA) sekali gus mengakibatkan kesan kepada penurunan hingga 25 peratus dalam produktiviti dan meningkat kos kepada organisasi.
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah penagihan dadah di tempat kerja, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang melaksanakan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) melibatkan 100 warga kerja Resorts World Genting dan agensi kerajaan.
Program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memberi pengetahuan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada majikan dan pekerja dan melaksanakan program intervensi kepada pekerja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, sebagai destinasi pelancongan dan perhotelan terunggul di Malaysia, program TEKAD dilihat akan memperkukuhkan lagi kedudukan dan pencapaian tersebut.
“Barisan pengurusan dan para pekerja yang menjadi aset dan tulang belakang organisasi akan bekerja dalam keadaan bersih, sihat, sejahtera dan ceria ketika menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kesan penyalahguna dan penagihan dadah di tempat kerja bukan sahaja terhad kepada pekerja terlibat, tetapi terhadap rakan sekerja, ahli keluarga dan majikan. Dalam konteks yang lebih besar, ia (dadah) memberi kesan pada organisasi, masyarakat dan negara khususnya dari segi produktiviti, sosial, ekonomi dan politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program TEKAD di Resorts World Genting di sini baru-baru ini.

Turut sama menyertai program itu ialah Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Komunikasi, Dato Sri Kay Atisha Parasuraman; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.
Mengulas lanjut mengenai program TEKAD, Sutekno berkata, pelaksanaan program itu untuk mendidik majikan dan pekerja mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah dan mengetengahkan kemahiran mengurus masalah penyalahgunaan dadah di tempat kerja kepada majikan.
Pada masa sama, beliau menambah, usaha itu turut menyediakan program pemulihan berkesan dan mencegah penyalahgunaan dadah di tempat kerja dan mewujudkan persekitaran kerja sihat dan selamat.
“Saya yakin menerusi program seumpama ini setiap majikan atau ketua jabatan akan mengambil langkah dan menggubal dasar dimulakan untuk memastikan pekerja, vendor dan pelanggan tidak mengambil atau menggunakan dadah atau substans.,” jelasnya.

Selain warga kerja Resorts World Genting, program TEKAD turut disertai ketua dan wakil jabatan dan agensi kerajaan Daerah Bentong termasuk ketua-ketua Pegawai AADK Daerah seluruh Negeri Pahang.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berkenaan antaranya ceramah, khidmat nasihat, pameran antidadah dan perlawanan boling antara AADK dan peserta.