Sukarelawan Skuad Antidadah Daerah Seberang Perai Utara anjur kayuhan hijaukan KBT

Oleh : Tn Khairul Farrizan b Tn Abdullah Zawawi

KEPALA BATAS, 12 Mac 2023 – Kayuhan Hijaukan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) melibatkan lebih 40 orang peserta bermula dari Dewan Dato’ Haji Ismail Che’ Chik, Bakau Tua, Penaga adalah anjuran sukarelawan Skuad Antidadah Daerah Seberang Perai Utara dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Utara dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bakau Tua.

Acara kayuhan sejauh 15 kilometer itu dilaksanakan dengan menulusuri Kampung Permatang Rawa; Kampung Permatang Rawa Tepi Laut; Kampung Pasir Gebu; Kampung Sungai Kedak; Kampung Permatang Bendahari; Kampung Pulau Mertajam dan Kampung Kuala Muda yang menjadi KBT dalam Mukim 1.

Kayuhan santai itu bertujuan mempromosikan amalan gaya hidup sihat tanpa dadah dengan tema ‘Lebih Baik Cegah’ dan menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Bermula Di Rumah’ kepada masyarakat setempat Sempena Peringatan Hari Antidadah Tahun 2023.

Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan bakul makanan Ziarah Kasih Jejak Klien kepada waris dan keluarga klien yang terpilih dalam KBT Mukim 1, Daerah Seberang Perai Utara.

Ketua AADK Daerah Seberang Perai Utara, Rokeman Ramli dan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Seberang Perai Utara, MD Shukriey turut sertai kayuhan pada kali ini.

Menurut Rokeman, program itu diadakan untuk mengeratkan hubungan bersama komuniti setempat dan memastikan komuniti setempat sentiasa peka kepada permasalahan dadah serta mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup sihat dan aktif.

“Peranan Ahli SKUAD Antidadah juga amat penting sebagai ejen penyalur maklumat kepada semua masyarakat dalam melahirkan masyarakat MADANI dan cakna kepada permasalahan dadah,” katanya.

Accessibility Toolbar