Soalan Lazim : Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional)

1.  Apa itu Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional)?

Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) adalah Cure and Care Vocational Centre (CCVC). Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) sebelumnya dikenali Institut Kemahiran dan Latihan Sepang (IKHLAS) dimana kemasukan ke institusi ini dibuat secara kompulsori terhadap penghuni-penghuni pra-bebas (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Nasional (PUSPEN) seluruh negara. Sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), AADK telah menaiktaraf IKHLAS kepada sebuah pusat latihan yang lebih terbuka dan berkonsepkan “Pulih dan Prihatin” dimana kemasukan dibuka kepada semua klien / individu yang mempunyai permasalahan dadah.

2.  Apakah kursus-kursus yang ditawarkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) Sepang?

Kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) Sepang ialah Sijil Kemahiran SKM Tahap 1 dan Sijil Kemahiran Giat Mara bagi latihan jangka panjang dan Sijil-Sijil Penyertaan Latihan Jangka Pendek daripada pelbagai penyedia latihan awam / swasta dalam bidang-bidang seperti berikut :

  1. Pengangkutan (Kod Sektor : Pgk)
  2.  Pemesinan & Peralatan (Kod Sektor : Msn)
  3.  Perkhidmatan & Penyelenggaraan Mekanikal (Kod Sektor : Mkl)
  4.  Elektrik & Elektronik, Telekomunikasi & Industri Penyiaran (Kod Sektor : Elk)
  5.  Pertanian & Asas Tani (Kod Sektor : Pat)
  6.  Bangunan & Pembinaan (Kod Sektor : Bpn)
  7.  Hiasan Dalaman (Kod Sektor : Int)
  8.  Sumber Asas (Kod Sektor : Nrc)
  9.  Landskap & Alam Sekitar (Kod Sektor : Lsk)
  10. Seni & Kebudayaan (Kod Sektor : Art)
  11.  Tekstil & Pakaian (Kod Sektor : Tex)
  12.  Cenderahati & Industri Kecil (Kod Sektor : Sme)
  13.  Hospitaliti & Pelancongan (Kod Sektor : Hos)
  14.  Hotel & Katering (Kod Sektor : Hkt)
  15.  Perubatan & Farmaseutikal (Kod Sektor : Med)

3.  Apakah kemudahan yang disediakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) kepada klien / perantis?

Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) menyediakan kemudahan kepada perantis / klien secara percuma seperti kemudahan tempat tinggal dan makan minum yang boleh memuatkan 200 orang dalam satu-satu masa. Bagi kemudahan latihan, terdapat pelbagai jenis bengkel yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan yang biasanya digunakan di dalam sektor industri. Selain dari itu juga, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) menyediakan kemudahan Pusat Sumber, Dewan Kuliah, Dewan Besar dan padang serta gelanggang untuk aktiviti riadah. Namun, klien / perantis tidak diberikan sebarang ELAUN sepanjang tempoh mengikuti latihan diPusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional).

4.  Mengapa saya harus memilih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) sebagai institusi pilihan saya?

Pelaksanaan program di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) adalah berdasarkan 70% aktiviti latihan kemahiran tanpa melupakan keperluan 30% elemen rawatan dan pemulihan klien / perantis. Proses pembelajaran / latihan kemahiran vokasional di sini memberi peluang kepada klien / perantis untuk melakukan sendiri kerja-kerja bagi memberi pengalaman kepada mereka untuk menghadapi suasana kerja yang sebenar. Untuk tujuan itu, makmal dan bengkel dilengkapi dengan mesin dan peralatan yang digunakan di dalam sektor industry yang sebenar. Selain dari itu, maklumat semua lepasan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) secara automatik akan dimasukkan ke dalam rekod V-Line untuk tujuan perkhidmatan penempatan pekerjaan yang tertakluk kepada permintaan daripada syarikat swasta.

5.  Apakah syarat kemasukan untuk mengikuti latihan kemahiran vokasional di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) ?

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Berumur 18 hingga 45 tahun.
  3. Pernah mengikuti program rawatan dan pemulihan dadah di institusi AADK.
  4. Mempunyai minat, motivasi, tahap kesihatan yang sesuai untuk mengikuti aktiviti vokasional.
  5. Mempunyai asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M).

6.  Adakah persijilan program latihan kemahiran di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) diiktiraf?

Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) telah mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi latihan kerajaan yang diiktiraf seperti Giat Mara, Kolej Komuniti, CIDB, Jabatan Pertanian, MARDI dan lain-lain agensi yang menyediakan latihan kemahiran teknikal / vokasional. Hingga kini, Sijil Latihan Kemahiran Vokasional Jangka Panjang Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) dikeluarkan oleh Giat Mara dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) – (Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1). Persijilan Latihan Jangka Pendek pula banyak melibatkan agensi seperti Kolej Komuniti, Jabatan Pertanian, CIDB dan lain-lain.

7.  Bagaimanakah peluang / prospek pembangunan diri lepasan perantis yang telah tamat latihan kemahiran di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional)?

Perantis / klien yang tamat latihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) akan dimasukkan ke dalam pengkalan data V-Line untuk penempatan pekerjaan. Klien akan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat swasta yang membuat permintaan yang diselia / diuruskan oleh V-Manager di semua pejabat AADK Daerah. Prestasi klien / lepasan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Vokasional) akan dipantau oleh V-Manager untuk program pembangunan kerjaya sekiranya klien berpotensi untuk lebih maju dalam kerjaya / memerlukan latihan kemahiran lanjutan. Selain itu, klien yang layak juga boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program keusahawanan anjuran kerajaan.

Accessibility Toolbar