Simposium Konsep 3D Expo Virtual Beri Pengalaman Baharu Buat Klien AADK

Oleh : Izyan Liyana Mohd Darif

Kajang, 22 September 2021- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil inisiatif menganjurkan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, simposium berlangsung selama dua hari itu mengangkat tema “Solidariti Kepulihan” yang bertujuan memberi peluang kepada para peserta berkongsi pengetahuan dan kemahiran lebih meluas.

Katanya, ini termasuklah membantu AADK secara kolaboratif memerangi masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial.

“Sepanjang dua hari, kita berpeluang melihat potensi klien AADK berkembang menjadi individu lebih baik melalui tayangan video persembahan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) termasuk merasai perkhidmatan disediakan di PUSPEN dan AADK Negeri dengan mengunjungi 10 buah bilik pameran secara virtual.

“Pelaksanaan Simposium berkonsepkan 3D Expo secara virtual memberikan pengalaman baharu. Penggunaan platform webinar juga pilihan terbaik pada masa ini.

“Melalui perantaraan alat komunikasi, kita dapat berinteraksi secara langsung melalui gambar video atau bersembang di ruang chat disediakan dengan lebih mudah dan tanpa gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium JKPD dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 hari ini.

Program yang diadakan secara sidang video itu dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan disertai para pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK serta kumpulan peserta Simposium.

Turut hadir ialah Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. 

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno mengesyorkan lebih ramai peserta aktif mengekplorasi setiap fungsi butang dan bilik disediakan.

“Sesi pembentangan pelbagai tajuk oleh organisasi yang berbeza dapat dilawat di bilik-bilik berasingan mengikut kesesuaian dan keperluan anda,” ujarnya.

Accessibility Toolbar