Seminar memperkasakan lelaki sebagai pembimbing, pelindung keluarga

Oleh: Rashdan Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2022 – Bagi memperkasakan golongan lelaki sebagai pembimbing, pelindung dan ketua keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar mengangkat tema Lelaki Dambaan Syurga itu bertujuan memberi pemahaman berkaitan istilah Lelaki Qawwam yang bermaksud fitrah kepimpinan dan kewibawaan lelaki menjalankan tanggungjawab diamanahkan melindungi keselamatan dan maruah ahli keluarganya berdasarkan al-Quran dan sunah.

Selain itu, seminar tersebut juga berperanan menghidupkan sistem sokongan secara holistik buat masyarakat khususnya kepada ahli keluarga agar semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi melahirkan sebuah rumah syurga.

Pada seminar berkenaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary memulakan sesi pertama dengan ucaptama bertajuk Inisiatif Lelaki Qawwam.

seminar lelaki
Dato’ Dr. Muhamad Sade (dua dari kanan) turut hadir menjayakan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar AADK / RASHDAN ZAKARIA

Seterusnya diteruskan dengan forum yang membincangkan topik Qawwamkan Aku? menampilkan barisan panel terdiri daripada penceramah motivasi dan kaunselor berdaftar, Hushim Salleh dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim manakala Penolong Pengarah JAKIM, Ustaz Nabil Ahmad pula bertindak sebagai moderator.

Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Idris Ahmad.

Hadir sama menjayakan seminar ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

seminar lelaki

Accessibility Toolbar