Program Singgah Sahur tingkat semangat rohani klien

Oleh: Muhammad Amir Zahien Amran

SUNGAI SIPUT – 23 April 2022 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Sutekno Ahmad Belon meluangkan masa bersama klien pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni: Singgah Sahur di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Sungai Siput, Perak pada hari ini.

Program itu bertujuan mewujudkan suasana keakraban, jalinan ukhuwah dan keseronokan untuk beramal ibadah pada bulan Ramadan dalam kalangan warga AADK dan klien. Pada masa sama, memupuk semangat kekitaan antara semua pihak dalam proses membantu klien mendapatkan kepulihan sepanjang hayat.

Menurut Tuan Sutekno, diharapkan menerusi penganjuran program sedemikian membantu meningkatkan kualiti spritual dalam kalangan warga Muslim AADK dan klien untuk membentuk perubahan sikap dan pemikiran yang lebih baik termasuk meningkatkan kebersihan jiwa agar menjalani kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Secara tidak langsung, ia merupakan tanda sokongan warga AADK dalam membantu klien agar tidak rasa terpinggir dan bersikap positif bagi membina kekuatan dan kawalan diri supaya tidak mudah terjebak dengan pengaruh negatif.

“Selain itu, pihak AADK mengharapkan agar pendekatan, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui program psikospiritual dapat digunakan untuk membentuk keseimbangan diri dari segi psikologi, sosial, kognitif dan kerohanian,” katanya pada Program Singgah Sahur di PUSPEN Perlop, Perak.

Dalam pada itu, Tuan Sutekno turut mengharapkan para klien terus kuat dan bersabar dalam menjalani proses kepulihan dan kembali menjadi ejen untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

“Bagi pegawai dan kakitangan pula, kefahaman dan kesediaan dalam bentuk klien menjalani proses kepulihan perlu sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan objektif kepulihan jabatan dapat dicapai,” saran beliau.

Sementara itu, pada program berkenaan Tuan Sutekno sempat beramah mesra dan mengadakan sesi soal jawab bersama klien.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa.

Ini termasuklah, Ketua Penolong Pengarah (Institusi), Rujhan Ramli; Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti), Dr. Nazira Sadiron; Ketua Penolong Pengarah (Agama), Dr. Yusaini Yusoff dan Pegawai JAKIM, Zaharah Abbas.

Accessibility Toolbar