Program ‘Sentuhan Kasih’ bersama klien.

Oleh: Siti Syakillah

Dengkil, 2, Dis 2022 – Program Sentuhan Kasih anjuran Biro Sosial Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diadakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil di sini hari ini. Program ini membabitkan klien PUSPEN Dengkil yang terdiri daripada 58 klien dari lingkungan 21 hingga 48 tahun.

Objektif program ini diadakan adalah untuk menjalinkan hubungan yang erat dan persefahaman yang lebih baik dengan klien secara keseluruhan di samping menyantuni klien PUSPEN Dengkil.

Pengerusi PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datin Sri Dr. Azlifah Bahari berkata, “Saya juga mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil di bawah KDN yang turut bersama sama kita pada pagi ini.”

 “Saya berasa teruja kerana diberikan peluang untuk mengenali klien-klien PUSPEN Dengkil dan dapat menjalankan program santai bersama dengan anda semua pada hari ini.

“Klien-klien di sini sebenarnya bergantung harapan kepada kita semua untuk bangkit kembali sebagai insan yang berguna pada masyarakat dan negara.”

Tambahnya, meskipun program dalam suasana santai, ia masih boleh membentuk disiplin, meningkatkan kemahiran merancang strategi dan mewujudkan ikatan perpaduan antara klien.

“Saya merakamkan setinggi tinggi ucapan terima kasih kepada PUSPANITA cawangan kecil Agensi Antidadah Kebangsaan yang juga merupakan biro sosial, PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri, kerana menjemput dan memberi penghormatan kepada saya untuk bersama-sama mengikuti program ini, seterusnya merasmikan program Sentuhan Kasih bersama klien di PUSPEN Dengkil.”

Program ini telah berjaya berlangsung dengan lancar, dengan aktiviti seperti menghias kek, mengukir buah-buahan dan inovasi barangan terpakai serta lawatan ke perkarangan dan kediaman klien PUSPEN Dengkil dan pelancaran ‘Reborn Hair Saloon’.

Terdahulu perasmian program ‘Sentuhan Kasih’ bersama klien telah disempurnakan oleh Pengerusi Puspanita di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datin Sri Dr Azlifah Bahari.

Program diakhiri dengan sesi perkongsian pengalaman bersama klien dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir Pengerusi PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datin Sri Dr Azlifah Bahari, Timbalan Pengerusi 1 PUSPANITA Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datin Hajah Aniza Abdul Rahim, pengerusi PUSPANITA cawangan kecil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ummukalthom Bujang, Pengarah Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Puan Siti Mariam Mursidan dan Pengarah PUSPEN Dengkil Ruziliza Ibrahim.

Accessibility Toolbar