Program SEDAR Jihad Dadah 2022 demi Keluarga Malaysia

Oleh: Izyan Liyana Mohd Darif

WANGSA MAJU, 25 Jun 2022 – Bagi menyahut semangat Keluarga Malaysia dalam memakmurkan elemen Keluarga Malaysia, Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (Pusaka Hanafi) melaksanakan Program Self Defence Awareness (SEDAR) Jihad Dadah.

Inisiatif itu adalah untuk memantapkan sinergi keselamatan secara pendekatan pro-aktif dan bersepadu bagi mencegah jenayah komuniti antaranya isu permasalahan dadah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan diri, bahkan gejala terbabit turut menjurus pada jenayah-jenayah lain.

“Kementerian berbesar hati apabila Kuala Lumpur menjadi lokasi pertama Program SEDAR Jihad Dadah bagi memupuk semangat dalam kalangan Keluarga Malaysia membenci penyalahgunaan dadah.

“Justeru, saya menyeru agar semua pihak terutamanya pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti menyokong usaha Program SEDAR untuk kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program SEDAR Jihad Dadah di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hadir menjayakan ialah Presiden Pusaka Hanafi, YM Kolonel Kehormat (PA), Dr. Md. Radzi Hanafi; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tuan Mesran Mohd Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puan Chan Hong Jin.

Program SEDAR Jihad Dadah merupakan anjuran Pusaka Hanafi bersama rakan strategik Polis Diraja Malaysia dan AADK.

Accessibility Toolbar