Program Integriti Dekat Di Hati Pupuk Nilai Integriti Warga AADK Melaka

Oleh: Mohd Zaki Hussin

Melaka, 27 September 2021 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan Program Integriti Dekat Di Hati sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2021 baru-baru ini.

Penganjuran program tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran kepentingan amalan integriti dalam diri setiap individu.

Secara tidak langsung, ia merupakan landasan terbaik bagi menerapkan nilai-nilai integriti khususnya dalam kalangan warga AADK Melaka.

Pada masa sama, meningkatkan prestasi dan kredibiliti setiap kakitangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik sewaktu menjalankan tugas.

Program Integriti Dekat Di Hati yang diadakan secara online itu melibatkan semua pegawai dan kakitangan di AADK negeri berkenaan.

Pengarah AADK Negeri Melaka, Tuan Wan Madihi Wan Salleh mengetuai bacaan Ikrar Integriti Penjawat Awam yang bertujuan menambah nilai dan kesedaran kepada kakitangan.

Lebih menarik para peserta program turut didedahkan dengan pelbagai ilmu dan langkah-langkah pencegahan agar tidak terlibat dalam kesalahan rasuah daripada dua penceramah jemputan.

Mereka terdiri daripada Tuan Mohd Sufian Mohd Khalid, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Imam Muda Fattah.

AADK Melaka turun padang

Dalam perkembangan berlainan, pihak AADK Melaka turun padang melaksanakan Program Omnipresence, Walking Message, Ikon Antidadah dan Kempen Media di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) daerah Melaka Tengah, Melaka pada 26 September lalu.

Lokasi yang menjadi pilihan ialah KBT Tanjung Keling (Pantai Puteri), KBT Peringgit (Taman Rempah, Melaka), KBT Krubong (Pusat Vaksinasi Mega, Stadium Hang Jebat) dan Kawasan Rekreasi Tasik Taman Satu Krubong.

Program tanggungjawab sosial itu bertujuan menyampaikan informasi berkaitan penyalahgunaan dadah menerusi edaran risalah dan menyalurkan maklumat mengenai perkhidmatan ditawarkan kepada pengunjung. Hadir sama ialah Tuan Wan Madihi Wan Salleh, Pengarah AADK Melaka dan Puan Noralizah Kasmin, Ketua Pegawai AADK Melaka Tengah.

Accessibility Toolbar