
Disediakan oleh Unit Media & Komunikasi Korporat
SUNGAI PETANI, 3 OGOS 2018: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan program Drug Treatment Training For Asean Member States 2018 yang telah diadakan pada 30 Julai 2018 – 3 Ogos 2018. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Izhar bin Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK.
Penganjuran program merupakan satu inisiatif negara sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja berkaitan Rawatan dan Pemulihan, ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD), sebagai satu komitmen dalam membangun dan memantapkan program rawatan dan pemulihan dadah yang memberi manfaat kepada negara-negara anggota ASEAN.
Program ini memberi fokus kepada pemantapan keupayaan pengamal rawatan dan pemulihan dadah dalam melaksanakan intervensi yang berasaskan bukti. Selain dari itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan rawatan dan pemulihan dadah.
Ia juga merupakan landasan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman serta jalinan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah disamping memantapkan strategi dan tindakan berkaitan rawatan dan pemulihan seperti yang terkandung dalam “ASEAN Work Plan to Secure Communities Against Illicit Drugs 2016-2025”.
Kerjasama ini jelas menunjukkan komitmen tinggi Malaysia dalam perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik negara dengan negara-negara lain di rantau ASEAN dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah.