PKP3.0: Operasi Perkhidmatan AADK Berjalan Seperti Biasa

KAJANG, 14 Jun – Perkhidmatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tetap berjalan seperti biasa meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) atau ‘total lockdown’ di seluruh negara.

Antara perkhidmatan tersebut ialah pengoperasian Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK bagi tujuan aduan permasalahan isu dadah dan kaunseling dalam tempoh 24 jam setiap hari.

Operasi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) turut berjalan seperti biasa, namun ia hanya melibatkan klien dan kakitangan agensi secara dalaman.

Semua aktiviti di luar PUSPEN AADK termasuk lawatan keluarga, waris, orang awam, jabatan luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditangguhkan dalam tempoh PKP3.0.

Turut ditangguh ialah program atau aktiviti klien di luar PUSPEN dan program pra penempatan pekerjaan klien sebagai usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu, AADK juga mengambil keputusan untuk menangguhkan program bersemuka klien dalam pengawasan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun program bersama klien dalam pengawasan itu dilaksanakan secara atas talian.

Jumaat lalu, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP3.0 di seluruh negara selama 14 hari bermula 15 hingga 28 Jun depan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan YAB Tan Sri Dato’Muhyiddin Mohd. Yassin.

Pada 29 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP3.0 fasa pertama melibatkan penutupan penuh sektor sosial, ekonomi dan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) secara penuh bagi sektor kerajaan di seluruh negara dalam tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Accessibility Toolbar