Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana kita telah berada pada tahun 2020.
Tahun 2020 adalah tahun yang menyaksikan perkhidmatan awam mendokong tanggungjawab yang lebih besar kearah memastikan visi dan misi perkhidmatan awam ke arah “zero defect” dapat direalisasikan. Dalam memenuhi ekspetasi penyampaian perkhidmatan seiring dengan keperluan semasa seluruh warga Agensi Antidadah Kebangsaan haruslah memperbaharui tekad dan azam untuk memastikan wawasan kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai.
Justeru besarlah harapan saya agar AADK berjaya memikul tanggungjawab ini yang diterjemahkan melalui beberapa program-program baru seperti projek hijrah dan projek rintis menangani penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial yang menuntut segala kudrat dan daya usaha seluruh warga bagi menjayakan apa yang telah dirangka. Setiap perancangan keberhasilannya bukan dapat dilihat dalam sekelip mata sebaliknya segala jerih payah dan jatuh bangun ini akan kita nilai keberkesanannya fasa demi fasa. Ini kerana dalam melaksanakan sesuatu perkara kita harus berlapang dada untuk melihat setiap kesilapan sebagai satu titik tolak untuk kita memperbaiki kualiti perkhidmatan yang diberikan. Sebagaimana peribahasa “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.
Semoga setiap langkah yang kita ambil adalah langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Harapan saya agar segala usaha murni kita untuk membebaskan negara dari permasalahan dadah akan diberkati Allah SWT untuk Kesejahteraan dan Kemakmuran Bersama; Dadah Terkawal 2025.
Terima kasih.
Ketua Pengarah
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)