Penubuhan PUSPEN bukan sekadar pusat pemulihan – Pemangku Raja Perlis

Oleh: Fauzi Suhaimi

PADANG BESAR, 29 Mei 2023 – Falsafah penubuhan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bukan sekadar sebagai tempat pemulihan penagihan dadah semata-mata, sebaliknya bagi mengajar erti kehidupan sebenar.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, PUSPEN juga memberikan asas ilmu berkaitan kerohanian, pengurusan diri dan kemahiran hidup untuk mendepani penolakan sosial khususnya bagi menghindari daripada aktiviti penagihan semula.

Tuan Mohd Shukri (kiri) bersama YB Saifuddin Nasution ketika perasmian PUSPEN Bukit Chabang yg disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis. – Gambar AADK / Muhammad Amir Zahien

“Ia juga membina semula keyakinan, kemahiran dalam bidang pekerjaan dan kefungsian diri dalam erti kata hidup sebenar,” titah baginda pada Majlis Perasmian PUSPEN Bukit Chabang di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, meskipun terdapat pandangan sinikal dan stigma segelintir masyarakat terhadap usaha membanteras gejala dadah, namun AADK tetap teguh dengan iltizamnya melaksanakan penguatkuasaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. 

“Beta berharap AADK akan terus memberikan tahap prestasi perkhidmatan yang tinggi dalam menerajui program rawatan dan pemulihan penagihan dadah di negara ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, kejayaan pemulihan penagihan dadah perlu dijalankan secara kolektif dan tanggungjawab itu tidak boleh digalas oleh AADK sahaja.

“Komitmen dan keterlibatan semua pihak meliputi klien itu sendiri, seluruh ahli keluarganya, komuniti setempat, jabatan-jabatan, badan bukan kerajaan dan pemimpin di peringkat akar umbi penting,” titah baginda.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.

Accessibility Toolbar