Oleh: Amir Zahien Amran
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2022 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan Operasi Khas Roadworthiness Kenderaan Perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Operasi berkenaan untuk menilai dan memastikan tahap penyelenggaraan teknikal kenderaan dapat mencapai jaminan keselamatan tinggi untuk keselamatan semua pengguna jalan raya selain memastikan semua pemandu bebas daripada penyalahgunaan dadah.
AADK juga sentiasa memberi pendekatan atau kesedaran tentang penyalahgunaan dadah kepada pengguna jalan raya melalui platform media sosial dan juga Sistem Pemesejan Berubah (VMS) di seluruh lebuh raya dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Op yang dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hashim itu telah melibatkan seramai 44 anggota AADK termasuk JPJ dalam melakukan pemeriksaan ujian saringan air kencing pemandu selain pemeriksaan lesen memandu dan lesen kenderaan.
Hasil pemeriksaan dijalankan sepanjang operasi terbabit sebanyak 158 notis dikeluarkan terhadap 140 kenderaan atas pelbagai kesalahan manakala tiga pemandu ditahan kerana positif dadah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli; Penolong Pengarah (Operasi) AADK, Muhammad Farid Mohd Zaki; Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) AADK Kuala Lumpur, Mohamad Hanif Omar.

