Oleh: Unit Media Komunikasi Korporat
SEPANG, 29 Disember 2021 – Kejadian banjir yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini ternyata memberi kesan yang sukar dilupakan.
Meskipun pahit untuk menerima, namun kejadian itu turut membawa seribu satu hikmah.
Masakan tidak, dek bencana alam itu seluruh keluarga Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersatu-padu mengerah keringat membantu mereka yang terjejas.
Baik daripada warga yang terkesan sehingga kepada orang awam, AADK mengaktifkan pasukan sukarelawan menerusi Skuad Antidadah dalam menggerakkan misi kemanusiaan bantuan pasca banjir.

Bermula di Selangor meliputi kawasan Hulu Langat, Sepang dan Shah Alam kini Skuad Antidadah diperluas di seluruh negara dalam menggerakkan misi bantuan banjir tersebut.
Di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang misalnya, semua sukarelawan terdiri daripada warga AADK ibu pejabat, negeri, daerah dan PUSPEN berganding bahu menghulurkan bantuan membersihkan 14 sektor di kawasan tersebut.
Sukarelawan itu turut disertai Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin pada Selasa.

Bantuan itu bukan dinilai dalam bentuk kewangan, namun semangat juang dan kerahan keringat untuk membantu membersihkan baik kediaman mahupun ruang pejabat membawa kebersamaan warga AADK.
Kebersamaan warga AADK ini tidak sesekali menidakkan bantuan daripada pihak luar, sebaliknya ucapan terima kasih dizahirkan buat mereka yang turun padang membantu pihak AADK.
Antaranya beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Penduduk Kota Warisan (PPKW), agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skuad Antidadah.



