MTMD Selangor: Guna pendekatan berbeza atasi masalah dadah di Sabak Bernam

Oleh: Muhammad Rashdan Mohd Zakaria

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyarankan latihan kepada ketua komuniti perlu diperkasa dan diperluaskan dari semasa ke semasa supaya lebih banyak pihak terlibat.

Pada masa sama, beliau turut memohon pihak berkuasa menggunakan pendekatan berbeza untuk mengatasi masalah penagihan dadah di perkampungan nelayan di Sabak Bernam, Selangor.

Saranan tersebut dizahirkan selepas sesi pembentangan kertas makluman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkaitan Pencapaian Pelan Strategik 2021 dan Status Pelaksanaan Inisiatif Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2022 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Amirudin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan juga menyarankan agar AADK memantau operasi pusat pemulihan dadah persendirian agar sentiasa mencapai standard minima mengikut piawaian AADK termasuk mengemaskini pengkalan data penghuni.

Langkah tersebut bertujuan supaya agensi dapat memberi panduan dan pemantauan berkala dilaksanakan mengikut piawaian AADK.

Selain AADK, Polis Diraja Malaysia turut serta membentangkan dua kertas makluman iaitu Laporan Senario Dadah Semasa dan Statistik Aduan Jenayah, Rampasan dan Tangkapan di bawah ADB 1952 di 13 Kawasan Berisiko Tinggi Negeri Selangor 2021-2022.

Hadir menyertai mesyuarat ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin dan Ketua Unit Urus Setia Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Membanteras Gejala Dadah Negara AADK, Mohd. Nadmin Ramlan.

Accessibility Toolbar