MTMD Pulau Pinang: Satu kertas pertimbangan diluluskan

Oleh: Fauzi Suhaimi

PULAU PINANG, 18 April 2022 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan satu kertas pertimbangan membabitkan Pewujudan Anjung Komuniti di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah di negeri berkenaan.

Perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Pulau Pinang Bilangan 1 2022 yang dipengerusikan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow.

Pewujudan Anjung Komuniti itu akan ditempatkan di tujuh KBT di Pulau Pinang membabitkan Mukim 20; Mukim 21; Mukim 19; Mukim 1; Mukim 16; Mukim 12 dan Mukim 13.

Perkara itu antara lain bertujuan mendekatkan agensi dengan komuniti bagi memastikan kehadiran dan perkhidmatan dapat dirasai dan konsisten.

Selain itu, Anjung Komuniti juga akan berperanan sebagai hub, pusat aktiviti dan operasi harian melibatkan kesemua rakan strategik, pemimpin dan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT yang ditubuhkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mesyuarat MTMD berkenaan turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Exco Pertanian, Pembangunan Luar Bandar Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin; Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung dan wakil-wakil agensi serta jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Accessibility Toolbar